Lundu Miliki Potensi Besar Sebagai Destinasi Pelancongan Budaya
LUNDU: Lundu mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan budaya dan komuniti menerusi pemeliharaan adat tradisi, warisan budaya serta penglibatan aktif generasi muda dalam industri kreatif dan keusahawanan berasaskan budaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kekayaan budaya masyarakat Jagoi, Salako dan Rara yang terdapat di daerah itu merupakan aset bernilai yang mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat jika dipelihara dan dipromosikan secara berterusan.
Menurut beliau, pembangunan dan pemeliharaan budaya perlu bergerak seiring agar kemajuan yang dicapai tidak menghakis identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun.
“Sebagai wakil rakyat, saya mahu melihat Opar terus maju dari segi infrastruktur, ekonomi, pendidikan, teknologi dan peluang pekerjaan. Namun dalam mengejar pembangunan, kita tidak boleh kehilangan akar budaya yang menjadi asas kekuatan masyarakat kita.
“Pembangunan yang berjaya ialah pembangunan yang mampu mengangkat maruah rakyat, memperkukuh keyakinan masyarakat dan memelihara warisan untuk generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Sambutan Perayaan Gawai Dayak Peringkat Daerah Lundu 2026 di Dewan Masyarakat Lundu, pada Sabtu.
Beliau berkata, sambutan Gawai Dayak bukan sekadar perayaan tahunan, sebaliknya simbol warisan, identiti dan perjuangan masyarakat Dayak yang perlu terus dipertahankan oleh generasi masa kini.
Katanya, warisan budaya bukan hanya tinggalan sejarah, malah merupakan aset masa depan yang perlu diwariskan kepada generasi muda agar identiti bangsa terus kekal relevan dalam era pemodenan.
Billy turut memuji pelbagai inisiatif kebudayaan yang terus dilaksanakan di Lundu termasuk program Narakng yang menjadi simbol penyatuan masyarakat Salako dan Rara serta persembahan Bari’ Dance yang menyerlahkan keunikan seni budaya tempatan.
Sementara itu, ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata sambutan Gawai mencerminkan kekuatan semangat muhibah rakyat Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni walaupun berbeza kaum dan agama.
Beliau turut menggesa masyarakat supaya terus mengamalkan semangat segulai sejalai, saling menghormati dan memanfaatkan tradisi rumah terbuka sebagai medium mengeratkan hubungan dalam komuniti.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 400 pengunjung itu turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang mengetengahkan keunikan masyarakat Dayak serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Temenggong Masyarakat Iban Bahagian Kuching Kloni Kanang @ Nelson Kloni, Pemanca Benjamin Gersit Jais dan Pemanca Allen Manium Enggang. -EDISI UKAS