100 Kanak-Kanak Yatim, Kurang Berkemampuan Bakal Nikmati Pengalaman Bersama The Great British Circus
MIRI: Seramai 100 kanak-kanak yatim dan kurang berkemampuan berusia antara lapan hingga 17 tahun dari sekitar Miri bakal menikmati pengalaman istimewa menyaksikan persembahan bertaraf antarabangsa, The Great British Circus – Legend of the Sea, menerusi satu inisiatif kebajikan komuniti yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Prihatin Miri (WOW Prihatin).
Menurut Setiausaha Agung WOW Prihatin, Fitrina Raji, program yang dilaksanakan dengan kerjasama ‘Advocates Association of Sarawak’ (Cawangan Miri) dan ‘Rotary Club of Miri Oil Town’ itu bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik merasai pengalaman yang bermakna selain membina keyakinan diri serta meningkatkan kesejahteraan emosi mereka.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar aktiviti hiburan, malah menjadi platform untuk mencipta kenangan indah, membawa kegembiraan dan memberi inspirasi kepada golongan kanak-kanak yang memerlukan sokongan masyarakat.
“Setiap kanak-kanak berhak menikmati saat-saat kegembiraan, rasa kagum dan inspirasi. Melalui program ini, kami berharap dapat mengukir senyuman di wajah mereka, mencipta kenangan bermakna serta mengingatkan mereka bahawa mereka adalah sebahagian daripada komuniti yang sentiasa dihargai,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Tambah beliau, program tersebut turut berperanan menyemai nilai kasih sayang, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda sejak usia awal.
Katanya, pendedahan kepada program kebajikan seperti itu diharap dapat membantu kanak-kanak memahami kepentingan sikap prihatin, kemurahan hati dan semangat saling membantu dalam masyarakat.
Dalam menjayakan inisiatif berkenaan, pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan The Great British Circus atas komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui sumbangan sebanyak 50 peratus daripada kos pelaksanaan program tersebut.
Menurut Fitrina, sokongan yang diberikan bukan sahaja membolehkan lebih ramai kanak-kanak yatim dan kurang berkemampuan menikmati pengalaman bertaraf dunia, malah mencerminkan keprihatinan sektor korporat terhadap kebajikan masyarakat.
“Sokongan The Great British Circus memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Ia mencerminkan komitmen sebenar untuk memberi kembali kepada masyarakat dan membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang mungkin tidak berpeluang menikmati pengalaman seperti ini,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik, penyumbang dan individu yang telah membantu menjayakan program tersebut.
Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama pelbagai pihak dalam membina masyarakat yang lebih penyayang, inklusif dan prihatin, selain memastikan tiada kanak-kanak yang tercicir daripada menikmati peluang serta perhatian yang sewajarnya. -EDISI UKAS