KUCHING: Festival Maal Hijrah 1448H/2026M (FMH) anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) secara rasminya bermula hari ini dengan simbolik menaikkan Bendera Festival Maal Hijrah di perkarangan Baitul Makmur, Medan Raya, pada Ahad.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat LAKMNS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain menerusi penganjuran Festival Maal Hijrah @ Kuching Car Free Morning (KCFM) yang diadakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Program yang berlangsung di Medan Raya itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk kayuhan santai, larian, pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan, jualan kompos dan aerodance serta cabutan hadiah bertuah untuk para pengunjung.
Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz turut berkesempatan melakukan pelepasan bagi kayuhan santai dan larian di samping melawat reruai yang ada.
Festival Maal Hijrah 1448H/2026M berlangsung dari 12 hingga 21 Jun 2026 dengan Dewan Serbaguna Taman Sukma sebagai lokasi utama penganjuran.
Orang ramai dialu-alukan hadir memeriahkan pelbagai program dan aktiviti yang telah disusun sepanjang festival berlangsung.
Selain pengisian berteraskan kerohanian, pendidikan dan kemasyarakatan, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk dua pakej umrah dan dua buah motosikal yang akan diumumkan pada Majlis Penangguhan Festival Maal Hijrah pada 21 Jun depan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datu Abdul Hadi Abdul Kadir, Pengarah DBKU Ramzi Abdillah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Mohamad Feisal Said serta pengurusan kanan LAKMNS dan DBKU. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie