Pekebun Kecil Sawit Diseru Rebut Peluang Pensijilan MSPO
SARIKEI: Pekebun kecil kelapa sawit di Sarawak diseru agar memanfaatkan peluang mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menerusi inisiatif ‘Sustainable Palm Oil Cluster’ (SPOC) yang disediakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pensijilan tersebut penting bagi memastikan pekebun kecil terus berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran global yang semakin menitikberatkan aspek kemampanan.
Tambahnya, ini terutamanya kepada masyarakat Dayak yang merupakan tunjang utama sektor pekebun kecil sawit di Sarawak.
“Dengan jumlah 43,916 orang, masyarakat Dayak merupakan kelompok terbesar pekebun kecil di Sarawak. Maka, saya boleh dengan yakin sebutkan tanaman sawit dengan masyarakat Dayak adalah berpisah tiada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program ARAM BESAWIT 2026 anjuran Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) di Dewan Suarah Sarikei, pada Sabtu.
Ujarnya, kelapa sawit bukan sekadar tanaman komersial tetapi merupakan sumber pendapatan yang menjamin pendidikan anak-anak serta masa depan generasi akan datang.
Dato Sri Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei turut memuji penyertaan kira-kira 300 peserta dalam program tersebut yang memberi tumpuan kepada pelbagai aspek penting industri sawit termasuk teknik pembajaan, kawalan rumpai, keselamatan persekitaran, pelesenan, penggredan buah tandan segar dan isu antarabangsa seperti Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Menurutnya, industri sawit kini berhadapan pelbagai cabaran baharu di peringkat global dan program berasaskan ilmu seperti ARAM BESAWIT menjadi platform penting untuk memastikan pekebun kecil tidak ketinggalan dalam arus perkembangan industri.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada DOPPA bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan tersebut. -EDISI UKAS