SIBU: Cabaran Muaythai Amatur Sibu 2026 melabuhkan tirainya malam tadi di Dewan MUC Sibu menyaksikan dominasi Kelab Muaythai Sting yang muncul selaku juara keseluruhan.
Ia susulan kejayaan cemerlang petinju kelab itu merangkul 10 pingat emas dan 5 perak.
Di kedudukan kedua Kelab Phoenix Meranek, manakala Kelab Muaythai Tugau di kedudukan ketiga.
Sementara itu, Dewan MUC Sibu dihangatkan sepanjang malam dengan sorakan penyokong yang memberikan sokongan padu kepada peserta yang mengambil bahagian.
Mencuri tumpuan aksi membabitkan kategori 71-75kg yang dimenangi Ar Rayyan Abdullah dari DMT X Rentap Muaythai Gym selepas menundukkan wakil Eagle Muaythai, Kevin Wong Long.
Tidak kurang menariknya aksi dimenangi Muhd Qayyum Habibullah (Kelab Muaythai Sting) yang mengatasi Brian Issac Rhonald (PS Muaythai Bintulu) dalam kategori 57-60kg.
Gelanggang bertambah gamat apabila wakil Warmonger Training Academy, Danny Huang Hng Peng berjaya menyingkirkan peserta West Borneo Muaythai Club, Paullinus Akui Lea dalam kategori 54-57kg.
Satu lagi aksi menarik menyaksikan Peter Alexzender Chandrasagaran yang mewakili SS Muaythai Gym berjaya menundukkan wakil Legacy Muaythai, Ahmad Shahrizal Wafidalam kategori 44-46kg.
Nasib berbeza pula dialami Marsanda Ika mewakili West Borneo Muaythai Club apabila akur tewas di tangan Fatiha Hanum dari Kelab Phoenix Meranek dalam pertembungan 45-48kg.
Seramai 120 peserta mewakili 20 kelab termasuk dari Kalimantan Barat mengambil bahagian dalam cabaran yang dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Sibu.
Cabaran berlangsung selama dua hari ini turut mendapat kelulusan rasmi penganjuran dari Pesuruhajaya Sukan Malaysia dan sokongan daripada badan induk kebangsaan, Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) dan disokong penuh oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau.
Turut hadir Wakil Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Cr. Abg Kamalludin Ang Hamdan, Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, Presiden Persatuan Muaythai Bahagian Sibu Tan Eng Chung, Pengerusi Kelab Melayu Kg. Nyabor (MUC) Sibu Anuar Taha serta wakil SSC Alexander Sirai dan Pegawai Pembangunan Sukan (SDO) Muaythai SSC Nikram Shazran Sapari. - EDISI UKAS