Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel Kekal Terajui MASA Bagi Penggal 2026–2028
KUCHING: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui Institut Pengurusan Sarawak (MASA) selepas dipilih semula sebagai Presiden bagi penggal 2026 hingga 2028 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MASA 2026 yang berlangsung di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak, pada Jumaat.
MASA dalam kenyataan pada Sabtu berkata, pemilihan semula beliau mencerminkan keyakinan tinggi ahli-ahli institut terhadap kepimpinan serta hala tuju yang dibawanya dalam memperkukuh peranan MASA sebagai antara institusi profesional terkemuka di Sarawak.
“Ahli-ahli menyatakan keyakinan bahawa kesinambungan kepimpinan di bawah Dato Sri Dr Muhammad Abdullah akan mengukuhkan lagi peranan MASA sebagai platform utama untuk kecemerlangan pengurusan, pembangunan kepimpinan, kemajuan profesional dan kerjasama strategik di Sarawak,” kata kenyataan tersebut.
MASA menambah, sepanjang penggal lalu, pihaknya berjaya mencatat pelbagai pencapaian menerusi pelaksanaan kerjasama strategik, kolaborasi antarabangsa, program pembangunan kepimpinan, pendidikan eksekutif serta inisiatif memperkukuh kelestarian institusi.
Antara pencapaian utama Lembaga Pengarah sebelum ini ialah kerjasama dengan ‘Malaysia Research and Education Foundation’ (MyREF) yang menyaksikan penganjuran ‘Contemporary Leadership International Summit’ 2025 (CLIS 2025), yang berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada sektor kerajaan, industri, ahli akademik dan komuniti.
Kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada pelaksanaan Siri Webinar Kepimpinan Kontemporari, ‘Professional Certificate in Contemporary Leadership’ (PCCL) serta pelbagai program pembangunan eksekutif bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berdaya saing.
Dalam usaha memperluaskan pendedahan kepimpinan bertaraf global, MASA bersama MyREF turut menganjurkan program pembelajaran kepimpinan dan eksekutif di United Kingdom yang melibatkan penglibatan akademik di ‘Markfield Institute of Higher Education’ dan ‘University of Oxford’ yang memberi peluang kepada peserta mendalami aspek kepimpinan global, tadbir urus, inovasi, kelestarian serta amalan terbaik dalam kecemerlangan organisasi.
Pada masa sama, MASA turut menjalinkan kerjasama strategik dengan ‘University of Melbourne’ bagi membolehkan rakyat Sarawak dan golongan profesional mengikuti program Sarjana Perniagaan bertaraf antarabangsa tanpa perlu meninggalkan negeri ini.
Seiring aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh kelestarian organisasi, MASA turut mengambil langkah strategik ke arah menjadi institusi yang mampu berdikari melalui pemerolehan dan pembangunan semula sebuah hotel sebagai sumber pendapatan jangka panjang.
MASA yang ditubuhkan pada tahun 1993 kini memasuki tahun ke-33 penubuhannya dan terus komited memainkan peranan penting dalam memacu kecemerlangan pengurusan, pembangunan kepimpinan dan kemajuan profesional di Sarawak.-EDISI UKAS