Rumah Panjang Baharu Rumah Kayan Simbol Warisan, Perpaduan Masyarakat
KAPIT: Pembinaan Rumah Panjang Baharu Rumah Kayan di Nanga Dia bukan sekadar menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada penduduk, malah menjadi lambang pemeliharaan warisan budaya serta perpaduan masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata kerajaan akan terus komited melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.
“Rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal, tetapi merupakan simbol budaya, warisan dan perpaduan masyarakat yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mangkong Tiang Rumah Panjang Baharu Rumah Kayan di Nanga Dia, Jalan Kapit-Song, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Jefferson menegaskan pembangunan yang dibawa kerajaan tidak hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, malah turut merangkumi aspek pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Beliau turut menyeru penduduk agar terus memberikan sokongan kepada kerajaan bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan di kawasan tersebut.
Pada majlis berkenaan, beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita Rumah Kayan.
Selain itu, setiap rumah panjang jemputan yang hadir turut menerima sumbangan sebanyak RM5,000.
Beliau turut bersetuju memperuntukkan lebih RM200,000 bagi kerja-kerja penyambungan transformer dan bekalan elektrik ke rumah panjang berkenaan.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan Jalai, Timbalan Residen Bahagian Kapit Robert Liman Deli, Penolong Pegawai Daerah Kapit Anyie Awing dan Pengarah Wilayah ‘Upper Rajang Development Agency’ (URDA) Sago Unting. -EDISI UKAS