Kerajaan Sarawak Terus Perkasa Pembangunan Luar Bandar Demi Kesejahteraan Rakyat
DALAT: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan pembangunan dan kemudahan asas dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat termasuk di kawasan luar bandar bagi meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, keprihatinan kerajaan terhadap penduduk luar bandar terbukti menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan penyediaan kemudahan asas yang setanding dengan kawasan lain.
"Namun, usaha tersebut berdepan beberapa cabaran termasuk bantahan daripada segelintir penduduk yang menyebabkan pelaksanaan projek terpaksa ditangguhkan.
“Apabila sesuatu projek tertangguh, penduduk terpaksa menunggu lebih lama untuk menikmati kemudahan yang disediakan, malah kos pelaksanaan juga akan meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngiling Bidai dan Perasmian Projek Benteng Hakisan di Rumah Dari Balin, Nanga Baoh, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Royston berharap penduduk terus memberikan kerjasama dan bersabar bagi memastikan setiap projek yang dirancang kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Projek Benteng Hakisan yang dilaksanakan di Rumah Dari Balin merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak dalam melindungi kawasan penempatan penduduk daripada ancaman hakisan.
“Projek bernilai RM500,000 ini telah siap sepenuhnya pada 13 Mei lalu dan diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk di kawasan ini,” ujarnya.
Menyentuh mengenai Program Ngiling Bidai, beliau berharap adat dan budaya masyarakat Dayak terus dipertahankan.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Tambah Royston, kekuatan utama Sarawak terletak pada semangat perpaduan yang kukuh serta keharmonian yang sekian lama dipupuk dalam kalangan rakyat.
Hadir sama, Penghulu Ambau Achong, Tuai Rumah Dari Balin dan ADO Felicia Serai. -EDISI UKAS