Projek RTP RM150,000 Siap, Manfaatkan Komuniti Rumah Panjang Bukit Sesanggau
KANOWIT: Pembinaan baharu Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tr Nasa @ Lika Francis di Bukit Sesanggau, Sungai Mapai, bernilai RM150,000 kini siap sepenuhnya dan memberi manfaat kepada komuniti rumah panjang di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan yang diperlukan penduduk luar bandar.
“Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi teknikal itu bernilai RM150,000.
“Sepanjang saya menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah, semua rumah panjang di kawasan Ngemah telah menerima manfaat projek RTP mengikut keperluan masing-masing,” katanya ketika merasmikan projek tersebut dan Ngiling Bidai JKKK Bukit Sesanggau Sungai Mapai, Jalan Nibong Tada, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anyi turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat rumah panjang bagi memastikan lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke kawasan DUN Ngemah pada masa hadapan.
Menurutnya, pembangunan yang lebih pesat hanya dapat dicapai sekiranya masyarakat terus bersatu serta memberikan kerjasama kepada kepimpinan sedia ada.
“Perpaduan akan memperkukuhkan suara rakyat sekali gus memudahkan usaha membawa lebih banyak pembangunan kepada perhatian kerajaan dan kementerian berkaitan,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada 69 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nanga Dap dan SMK Kanowit yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Beliau berharap ibu bapa terus memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna demi menjamin masa depan yang lebih baik.
Dalam majlis sama, Anyi meluluskan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM 5,000 kepada JKKK Rh. Nasa @ Lika dan RM 3,000 kepada Biro Wanita Rh. Nasa @ Lika bagi pelaksanaan aktiviti tahunan mereka. -EDISI UKAS