Program ‘Kamek Prihatin, Kitak Penting’ Dekatkan Perkhidmatan Kerajaan kepada Rakyat
SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus komited memperluaskan pelaksanaan program outreach ke kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada bantuan serta perkhidmatan kerajaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan itu amat penting memandangkan masih terdapat komuniti yang berdepan kekangan dari segi jarak, kos perjalanan serta kemudahan perhubungan.
Menurut beliau, keluasan geografi Sarawak menyebabkan sebahagian penduduk memerlukan tempoh masa yang panjang untuk berurusan dengan agensi kerajaan di pusat bandar.
“Dalam keadaan geografi Sarawak yang luas, masih terdapat kawasan yang memerlukan masa dan kos yang tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.
“Sebab itu kita membawa perkhidmatan terus kepada rakyat supaya bantuan yang disediakan dapat dinikmati oleh semua termasuk mereka yang berada di luar bandar, pesisir dan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Outreach kementeriannya bersama rakan strategik ‘Kamek Prihatin, Kitak Penting’ Zon Sarikei Tahun 2026 di Dewan Serbaguna, Bangunan Pentadbiran Kerajaan Sarawak (IAC), pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu berkata, program tersebut menghimpunkan 21 agensi dan jabatan kerajaan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung untuk kemudahan rakyat.
Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk permohonan Kenyalang Gold Card (KGC), Senior Citizen Health Benefit (SCHB), urusan kad pengenalan, khidmat nasihat agensi kerajaan, Jualan Rahmah serta bantuan kebajikan.
Program itu turut melibatkan penyertaan penduduk dari enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta penganjuran dua sesi libat urus bagi memberi penerangan mengenai pelbagai inisiatif kerajaan berkaitan kesejahteraan komuniti.
Menurut beliau, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan apabila lebih 800 pengunjung direkodkan hadir bagi mendapatkan perkhidmatan dan maklumat secara terus daripada agensi terlibat.
Dato Sri Fatimah berkata, program seumpama itu telah dilaksanakan di beberapa zon sebelum ini termasuk Samarahan, Sibu dan Betong sebelum diteruskan ke Sarikei.
Beliau menambah, inisiatif berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan rakyat di seluruh negeri menikmati akses sama rata terhadap bantuan dan perkhidmatan kerajaan tanpa mengira lokasi. -EDISI UKAS