Projek Bekalan Air Simpang Pengkalan Jawa-Simpang Ukong Dijangka Beroperasi Oktober Ini
LIMBANG: Projek bekalan air dari Simpang Pengkalan Jawa ke Simpang Ukong yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Batu Danau dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang Oktober 2026 selepas proses pengujian dan pentauliahan selesai dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, projek tersebut telah siap sepenuhnya dari segi fizikal dan kini berada pada peringkat ‘testing and commissioning’ sebelum diserahkan untuk operasi penuh.
Menurut beliau, penduduk yang terlibat juga sudah boleh mengemukakan permohonan kepada Sarawak Water bagi mendapatkan sambungan bekalan air ke kediaman masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach bagi kawasan Batu Danau anjuran Pejabat Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak dan Pejabat Daerah Limbang, di Dewan St Edmund’s pada Sabtu.
Katanya, projek tersebut merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memperluaskan akses kepada kemudahan asas, khususnya bekalan air bersih bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Dato Paulus turut memaklumkan bahawa projek pemasangan paip bekalan air ke Kuala Medalam sedang giat dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai penduduk menikmati kemudahan bekalan air yang lebih baik dan berterusan.
Menyentuh isu bekalan elektrik di Kampung Lubuk Bidai, beliau berkata projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang sebelum ini terhenti akibat kekangan peruntukan kini sedang dinilai semula.
Menurutnya, beliau telah meminta Sarawak Energy melalui SESCO menyediakan anggaran kos bagi membolehkan projek berkenaan diteruskan dan disiapkan demi manfaat penduduk setempat.
Beliau turut memaklumkan bahawa masalah gangguan bekalan elektrik yang dihadapi penduduk ketika ini dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang awal Julai 2026.
Selain menyampaikan perkembangan projek pembangunan, Program Outreach tersebut turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap pelbagai dasar, inisiatif dan program yang diperkenalkan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut Dato Paulus, pemahaman yang lebih baik mengenai dasar dan inisiatif kerajaan akan membolehkan rakyat memanfaatkan pelbagai peluang serta bantuan yang disediakan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.-EDISI UKAS