Ubah Persepsi Terhadap Muaythai, Mampu Jadi Kerjaya Profesional
SIBU: Masyarakat khususnya ibu bapa perlu mengubah persepsi terhadap sukan muaythai dengan tidak lagi menganggapnya sekadar hobi atau aktiviti untuk mengisi masa lapang semata-mata.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau berkata, sukan lasak berkenaan kini terbukti mampu dijadikan sebagai satu kerjaya yang menjamin masa depan sekiranya diceburi secara serius dan profesional.
Beliau mengambil contoh ikon muaythai Sarawak, Johan Ghazali atau lebih dikenali sebagai Jojo yang telah membuktikan sukan itu mampu membawa kejayaan luar biasa di peringkat global hasil latihan bersungguh-sungguh dan sokongan padu keluarga.
"Inilah impak yang kita mahu semai dalam diri anak-anak muda di Sarawak. Kita mahu mengubah persepsi agar mereka tidak melihat sukan ini sebagai hobi atau mengisi masa lapang mereka sahaja.
"Dengan latihan yang bersungguh-sungguh, tidak mustahil suatu hari nanti akan lahir lebih ramai jaguh muaythai terhebat dari Sarawak di peringkat kebangsaan dan persada dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Cabaran Muaythai Amatur Sibu 2026 di Dewan MUC pada Sabtu.
Mengulas lanjut mengenai kejohanan tersebut, Lamat merakamkan ucapan tahniah kepada Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Bahagian Sibu kerana berjaya melaksanakan program pembangunan di peringkat akar umbi bagi melahirkan bakat-bakat baharu di seluruh pelosok daerah dan bahagian di negeri ini.
Langkah ini katanya amat penting bagi memastikan Sarawak sentiasa bersedia melahirkan atlet yang hebat dan digeruni di pentas pertandingan, sekali gus merealisasikan sasaran untuk menjadikan Bumi Kenyalang sebagai kuasa besar sukan muaythai di Malaysia.
“Pada masa ini kita melihat anak-anak kita bukan sahaja mewakili peringkat bahagian, tetapi juga akan mewakili peringkat negeri dan seterusnya akan mewakili diperingkat kebangsaan,” katanya.
Keyakinan itu turut disandarkan kepada persiapan jangka masa panjang memandangkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA pada tahun 2027, di mana Sarawak akan menjadi salah satu penganjur bagi acara muaythai.
Beliau percaya sukan muaythai akan menjadi antara acara yang dipertandingkan.
Sementara itu, Cabaran Muaythai Amatur Sibu 2026 menyaksikan pertembungan sengit membabitkan seramai 120 orang peserta termasuk dari Kalimantan Barat bersaing dalam pelbagai kategori.
Persaingan sengit daripada semua atlet muaythai mendapat sorakan gemuruh daripada ratusan orang yang hadir menyaksikan kejohanan berkenaan yang bermula 12 hingga 13 Jun.
Turut hadir ialah wakil Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Abang Kamaludin Abang Hamdan, Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, Presiden Persatuan Muaythai Bahagian Sibu Tan Eng Chung, Pengerusi Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) Sibu Anuar Taha, wakil Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Alexander Sirai serta Pegawai Pembangunan Sukan (SDO) Muaythai SSC Nikram Shazran Sapari.-EDISI UKAS