Projek Strategik Pacu Pertumbuhan Ekonomi Miri & Wilayah Utara Sarawak
MIRI: Pelaksanaan beberapa projek pembangunan strategik termasuk pembangunan Pelabuhan Miri, pembinaan rangkaian jalan raya ke kawasan pedalaman serta cadangan pembesaran Lapangan Terbang Miri dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan di Bahagian Miri serta wilayah utara Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata projek-projek berimpak tinggi tersebut akan memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan daya tarikan pelaburan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur yang sedang dirancang dan dilaksanakan merupakan sebahagian daripada agenda berterusan Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh kedudukan Miri sebagai hab ekonomi, perdagangan dan pelancongan utama di utara negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2026 anjuran bersama Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Senadin Fasa 1, KRT Desa Senadin Fasa 3, KRT Taman Greenville, Tabika Perpaduan Desa Senadin dan Tabika Perpaduan Desa Senadin Palma, di Pusat Rukun Tetangga Desa Senadin pada Sabtu.
Dato Sri Lee berkata pembangunan Pelabuhan Miri akan memperkukuh sektor logistik dan perdagangan, manakala penambahbaikan jaringan jalan raya ke kawasan pedalaman mampu meningkatkan aksesibiliti serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.
Katanya, cadangan pembesaran Lapangan Terbang Miri pula dijangka meningkatkan kapasiti penerbangan dan memperkukuh peranan bandar raya itu sebagai pintu masuk utama pelancong serta pelabur ke wilayah utara Sarawak.
Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek tersebut akan memberi kesan limpahan yang positif kepada pelbagai sektor termasuk pelancongan, perdagangan, perkhidmatan dan perusahaan tempatan, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan yang dinikmati Sarawak hari ini adalah hasil kestabilan politik, perpaduan masyarakat dan kerjasama erat antara rakyat dengan kerajaan yang terus menjadi asas kepada kemajuan negeri.
Katanya, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan terus memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
Turut hadir, Pegawai Perpaduan Bahagian Miri Diana Seliman, Penghulu Ngadan Melintang, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Pegawai Bomba Tinggi II Henry Jugah, Ahli Majlis Bandaraya Miri Kr. Eliza Sherance Jamba, Pengerusi KRT Desa Senadin Fasa 3 Theresa Using, Pengerusi KRT Taman Greenville Chan Soon Onn serta Pengerusi Pengelola Program Ngiling Bidai Gawai Dayak 2026 Abu Othman Pawi. -EDISI UKAS