Kejohanan Sepak Takraw Wanita Bawah 21 Tahun Platform Cungkil Bakat Atlet Muda Borneo
LAWAS: Kejohanan Sepak Takraw Wanita Terbuka Bawah 21 Tahun 2026 yang menghimpunkan 16 pasukan dari Sarawak, Sabah, Labuan dan kawasan setempat terus memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat atlet muda wanita serta memperkukuh pembangunan sukan sepak takraw di peringkat Borneo.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata kejohanan tersebut bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform strategik untuk melahirkan lebih ramai atlet wanita berpotensi yang mampu bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Menurut beliau, penganjuran kejohanan seperti itu turut memberi peluang kepada golongan belia wanita untuk meningkatkan kemahiran, membina keyakinan diri serta mengembangkan potensi dalam sukan sepak takraw secara kompetitif.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Wanita Terbuka Bawah 21 Tahun 2026 anjuran Kelab Sepak Takraw Merapok (KeSTaM) dengan kerjasama Saberkas Cawangan Ba’ Kelalan, di Arena Taman Awam Lawas pada Sabtu.
Dato Henry berkata sambutan dan penyertaan yang diterima membuktikan sukan sepak takraw wanita semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda, sekali gus menunjukkan potensi besar untuk terus berkembang pada masa hadapan.
Katanya, pembangunan sukan wanita perlu terus diberi perhatian kerana mampu melahirkan generasi yang berdisiplin, berdaya saing, berkeyakinan tinggi serta memiliki semangat kepimpinan yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Dalam masa sama, beliau berharap penganjuran kejohanan tersebut dapat diperluaskan pada masa hadapan dengan melibatkan penyertaan pasukan dari Negara Brunei Darussalam bagi memperkukuh hubungan silaturahim serta jaringan sukan serantau dalam kalangan masyarakat Borneo.
Kejohanan tersebut melibatkan penyertaan pasukan dari Sukan Malaysia Sarawak, Sabah dan Labuan, Astaka Tenom serta KeSTaM SMK Merapok yang bersaing bagi merebut kejuaraan edisi tahun ini.
Sementara itu, Presiden Kelab Sepak Takraw Merapok (KeSTaM), Abdul Kadir Bayan berharap kejohanan tersebut dapat dijadikan acara tahunan bagi memastikan pembangunan sukan sepak takraw wanita terus diperkasa, khususnya di kawasan utara Sarawak.
Beliau berkata penganjuran secara konsisten bukan sahaja mampu meningkatkan tahap persaingan atlet, malah menyediakan lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk menonjolkan bakat sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.
Turut hadir, Setiausaha Parti Cawangan Bukit Sari Awang@Ibrahim Ahmad, Exco Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Sarawak merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Ba’ Kelalan Steve Lius serta Pengerusi SABERKAS Cawangan Bukit Sari Lawas Awangku Syahrizan Pengiran Hipni. -EDISI UKAS