RM40,000 Disalur Kepada JKKK Kepayang Jaya, Sokong Pembangunan Komuniti
SELANGAU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kepayang Jaya menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM40,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan komuniti setempat.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, peruntukan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk melaksanakan program yang memberi manfaat kepada penduduk serta memperkukuh kesejahteraan komuniti di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Randau Bersama Pemimpin dan Ngiling Bidai anjuran JKKK Kepayang Jaya di Rumah Kechendai anak Kalob, Kepayang Jaya, Jalan SK Iban Union, Sungai Arip, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Edwin berkata pelbagai inisiatif pembangunan terus dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) turut menerima insentif sebagai galakan untuk mencapai kecemerlangan akademik, manakala bantuan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) terus disalurkan kepada pelajar yang layak.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) menyediakan kemudahan pinjaman bagi pembinaan rumah panjang baharu yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Parlimen Selangau.
Katanya, antara 10 hingga 12 rumah panjang menerima bantuan berkenaan setiap tahun, sekali gus membantu meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk luar bandar.
Selain itu, pelaksanaan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) turut membantu membaik pulih rumah panjang yang telah berusia lebih 30 tahun agar terus selamat dan selesa didiami.
Edwin menegaskan bahawa semua projek pembangunan termasuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), PPRMS dan myKHAS sentiasa dipantau bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Program tersebut turut menjadi platform kepada para tuai rumah untuk mengemukakan pelbagai isu, cadangan dan permohonan berkaitan keperluan masyarakat di kawasan masing-masing.
Turut hadir, Penghulu Lasit Bajieng, Penghulu Jeffery Irut, Penghulu Ngubang Ajum, Penghulu Alli Digat serta Ketua Pemuda PRS Kakus Dr Jawing Chunggat. -EDISI UKAS