Pembangunan Sarawak Perlu Seiring Pemeliharaan Warisan Budaya
MIRI: Usaha pembangunan Sarawak sebagai wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 perlu dilaksanakan seiring dengan pemeliharaan warisan budaya serta nilai tradisi yang menjadi identiti rakyat negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata tidak mencukupi tanpa usaha berterusan untuk memastikan budaya, adat resam dan nilai murni masyarakat terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurut beliau, kepelbagaian budaya, adat resam dan tradisi yang diamalkan masyarakat berbilang kaum di Sarawak merupakan aset berharga yang bukan sahaja membentuk identiti negeri, malah menjadi asas kepada keharmonian dan kestabilan sosial yang dinikmati selama ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan aktiviti membuat dumpling sempena Pesta Perahu Naga anjuran Sayap Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Senadin, di sini pada Ahad.
Dato Sri Lee berkata program berasaskan kebudayaan memainkan peranan penting dalam memastikan warisan masyarakat terus dipelihara selain menjadi medium untuk memperkenalkan tradisi pelbagai kaum kepada generasi muda.
Katanya, penglibatan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam sambutan perayaan dan aktiviti kebudayaan membolehkan mereka saling mengenali, memahami serta menghargai budaya dan tradisi antara satu sama lain.
Menurut beliau, amalan meraikan pelbagai perayaan bersama tanpa mengira kaum dan agama telah menjadi sebahagian daripada identiti unik Sarawak yang perlu terus dipertahankan.
Beliau berkata sambutan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai Dayak, Krismas dan Pesta Perahu Naga sentiasa mendapat sambutan masyarakat berbilang kaum, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat negeri ini. -EDISI UKAS