Golf Kadayan SeBorneo Perkukuh Jaringan Ekonomi & Kerjasama Rentas Sempadan
MIRI: Pertandingan Golf Kadayan SeBorneo menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan ekonomi, hubungan silaturahim serta kerjasama rentas sempadan dalam kalangan masyarakat Kadayan di rantau Borneo.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata penganjuran Pertandingan Golf Kadayan SeBorneo Ke-9 yang menghimpunkan peserta dari Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei Darussalam membuktikan sukan mampu menjadi medium berkesan untuk mengukuhkan hubungan komuniti serantau.
Menurut beliau, kejohanan tersebut bukan sekadar acara sukan, malah menjadi platform yang menghimpunkan pemimpin masyarakat, usahawan dan golongan profesional untuk membina rangkaian kerjasama yang lebih luas dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Pertandingan Golf Kadayan SeBorneo Ke-9, di Kelab Golf Miri (KGM) pada Sabtu.
Katanya, jaringan yang terjalin menerusi program berkenaan berupaya membuka lebih banyak peluang kerjasama ekonomi, pembangunan komuniti serta perkongsian kepakaran yang memberi manfaat kepada masyarakat Kadayan di seluruh Borneo.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Pertandingan Golf Kadayan SeBorneo diperkasakan dan disusun secara lebih sistematik supaya berpotensi dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan tahunan Sarawak.
Menurut beliau, penganjuran acara sukan berskala serantau seperti itu mampu memberi limpahan ekonomi kepada kawasan tuan rumah melalui peningkatan aktiviti pelancongan, penggunaan kemudahan penginapan, pengangkutan serta pertumbuhan perniagaan tempatan.
Katanya, kehadiran peserta dan pengunjung dari luar Sarawak secara tidak langsung akan merancakkan sektor pelancongan dan menjana aktiviti ekonomi setempat, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh industri pelancongan berasaskan acara (event-based tourism).
Dalam usaha memastikan kesinambungan penganjuran kejohanan tersebut, Datuk Dr Ripin turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 bagi membantu penganjuran edisi akan datang.
Beliau berharap hubungan persaudaraan dan silaturahim antara masyarakat Kadayan di Sarawak, Sabah, Labuan dan Brunei Darussalam akan terus diperkukuhkan serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik pada masa hadapan.
Dalam kejohanan tersebut, pasukan Sarawak berjaya muncul juara keseluruhan selepas menewaskan cabaran pasukan dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Brunei Darussalam.
Kejayaan itu sekali gus mencerminkan perkembangan positif sukan golf dalam kalangan masyarakat Kadayan selain mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai antara pencabar utama dalam kejohanan berprestij yang menjadi simbol penyatuan komuniti Kadayan di rantau Borneo. -EDISI UKAS