Kajian Laluan Kabel Dasar Laut Sarawak-Singapura Tunggu Persetujuan Indonesia
KUCHING: Kajian bagi menentukan laluan projek kabel dasar laut yang bakal menghubungkan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura masih menunggu persetujuan Indonesia kerana sebahagian besar laluannya melibatkan perairan negara berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kira-kira 60 hingga 70 peratus laluan kabel tersebut akan melalui perairan Indonesia, justeru kelulusan perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum kajian dasar laut dapat dilaksanakan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, surat permohonan telah dihantar kepada pihak Indonesia dan sebaik sahaja persetujuan diberikan, kajian akan dijalankan bagi menentukan laluan yang paling sesuai untuk pemasangan kabel tersebut.
“Pertama sekali kita masih menunggu kelulusan untuk laluan bagi membolehkan kita membuat kajian dasar laut daripada Indonesia sebab 60 hingga 70 peratus melalui perairan Indonesia.
“Jadi kita kena minta persetujuan mereka. Kita dah hantar surat dan apabila ia dipersetujui, barulah semua pihak yang terlibat akan membuat kajian dasar laut untuk menentukan laluan kabel dari sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Surau Nurul Muslimin Kampung Sungai Bedil Besar, di sini pada Ahad.
Mengulas mengenai perkembangan Grid Tenaga ASEAN, Datuk Amar Fadillah berkata usaha penyelarasan rangkaian tenaga serantau itu kini digerakkan oleh ‘ASEAN Centre for Energy’ (ACE) yang berpangkalan di Jakarta bagi mengharmonikan standard berkaitan bekalan tenaga rentas sempadan.
Menurut beliau, antara cabaran yang dihadapi ialah terdapat negara yang masih perlu menaik taraf sistem grid masing-masing bagi membolehkan sambungan tenaga serantau dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Katanya, rangkaian yang telah diwujudkan ketika ini melibatkan hubungan antara Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura.
Beliau menambah, di rantau Borneo pula, Sarawak telah dihubungkan dengan Kalimantan Barat dan Sabah, manakala sambungan ke Brunei dijangka direalisasikan pada masa akan datang.
“Dalam konteks Grid ASEAN di rantau ini, Sarawak, Kalimantan, Sabah dan Brunei kelak akan membentuk apa yang dipanggil Borneo Grid yang akan dihubungkan ke Indonesia, kepulauan Indonesia yang lain dan juga Filipina.
“Daripada Kuching pula akan dihubungkan ke Semenanjung melalui Johor dan sebahagiannya akan disambungkan ke Singapura,” ujarnya.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menjelas lanjut, pelaksanaan keseluruhan rangkaian tersebut bergantung kepada kemampuan setiap negara untuk menaik taraf infrastruktur grid masing-masing.
Menurutnya, Sarawak juga perlu terus menaik taraf sistem grid bagi memenuhi keperluan pembangunan rangkaian tenaga serantau pada masa hadapan.-EDISI UKAS