Surau, Masjid Perlu Diimarahkan Sebagai Pusat Pembangunan Komuniti
KUCHING: Surau dan masjid perlu terus diimarahkan serta diperkasakan sebagai pusat pembangunan komuniti yang bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah berperanan membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan bersatu padu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, institusi tersebut perlu dihidupkan dengan pelbagai aktiviti yang mampu menarik penyertaan masyarakat termasuk golongan muda.
Menurut beliau, cabaran utama selepas sesebuah surau atau masjid dibina ialah memastikan institusi itu terus dihidupkan dengan pelbagai program yang mampu menarik penyertaan masyarakat setempat.
“Bukan sahaja kita mahu melihat surau dan masjid yang cantik serta selesa, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita menghidupkan rumah Allah ini dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Selain solat berjemaah, surau dan masjid perlu menjadi tempat pelaksanaan kelas agama, pengajian al-Quran, program pembangunan keluarga dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Surau Nurul Muslimin Kampung Sungai Bedil Besar, di sini, pada Ahad.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, surau dan masjid boleh dijadikan platform untuk memperkukuh pendidikan agama, pembangunan keluarga serta menangani pelbagai cabaran semasa seperti pengaruh media sosial, penyalahgunaan dadah dan masalah sosial dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut menekankan kepentingan masyarakat meningkatkan pengetahuan berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Datuk Amar Fadillah mengingatkan masyarakat agar terus memelihara keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi asas kepada kestabilan dan pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS