MUKAH: Keunikan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak terus menjadi kekuatan utama yang menyumbang kepada keharmonian serta kestabilan negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, budaya saling menghormati dan menerima perbezaan yang diamalkan rakyat Sarawak wajar terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada pembangunan masyarakat yang progresif dan inklusif.
Menurut beliau, organisasi berasaskan komuniti turut memainkan peranan penting dalam menyemai semangat muhibah serta memperkukuh integrasi sosial dalam kalangan rakyat.
“Salah satu kekuatan terbesar kita di Sarawak ialah perpaduan dalam kepelbagaian.
“Kita hidup bersama dengan penuh rasa hormat dan meraikan perbezaan sebagai sumber kekuatan, bukannya faktor perpecahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Women Fellowship (WF) Mukah Anglican Centre (MAC), di Kingwood Resort, di sini, pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, Royston turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada MAC sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa peranan wanita dalam pembangunan komuniti.
Beliau berharap sumbangan yang disalurkan dapat membantu pertubuhan tersebut merancang dan melaksanakan lebih banyak program kebajikan serta pembangunan masyarakat pada masa hadapan.
Menyentuh mengenai penubuhan WF, katanya, ia bukan sekadar mewujudkan sebuah organisasi baharu, sebaliknya berfungsi sebagai platform yang menghimpunkan golongan wanita untuk terlibat dalam aktiviti pembangunan sahsiah, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
Tambahnya, wanita sentiasa memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang berdaya tahan melalui ketabahan, kebijaksanaan dan komitmen mereka terhadap keluarga serta komuniti.-EDISI UKAS