Dewan Serbaguna Baharu SMK St. Patrick Mukah Dijangka Siap Tidak Lama Lagi
MUKAH: Projek pembinaan Dewan Serbaguna baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Patrick Mukah bernilai RM500,000 kini berada pada peringkat akhir pembinaan dan dijangka siap dalam masa terdekat.
Projek yang dilaksanakan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Kerajaan Sarawak itu disalurkan oleh Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan warga sekolah.
Bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, Dato Hanifah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan telah mengadakan lawatan tapak pada Ahad untuk meninjau perkembangan semasa projek tersebut.
Sebelum lawatan berkenaan, beliau turut menerima taklimat daripada pihak pengurusan sekolah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah mengenai latar belakang SMK St. Patrick serta status terkini pembinaan dewan serbaguna itu.
SMK St. Patrick Mukah yang telah berusia 121 tahun merupakan antara institusi pendidikan tertua di Bahagian Mukah dan terus memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu serta modal insan berkualiti.
Menurut Dato Hanifah, penyediaan kemudahan pendidikan yang lengkap dan kondusif amat penting dalam menyokong proses pengajaran dan pembelajaran selain membantu pembangunan sahsiah pelajar secara menyeluruh.
Beliau turut menekankan kepentingan pemantauan berterusan terhadap projek pembangunan bagi memastikan setiap pelaksanaan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan serta dapat disiapkan mengikut jadual.
Katanya, kerajaan sentiasa komited memastikan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan selamat untuk warga sekolah.
Sebelum ini, Dato Hanifah telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada SMK St. Patrick Mukah termasuk kerja-kerja naik taraf serta pembinaan kemudahan baharu bagi memenuhi keperluan sekolah berkenaan.
Komitmen berterusan itu mencerminkan usaha beliau dalam memperkukuh sektor pendidikan di kawasan Mukah, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk menyediakan kemudahan pendidikan yang berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Pengetua SMK St. Patrick Mukah Silvester Alan William serta wakil JKR Mukah Yazid Mustaba.-EDISI UKAS