Royston Salur Geran RM5,000 Sokong Aktiviti Komuniti Persatuan Chiang Chuan Mukah
MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menyalurkan geran aktiviti berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Chiang Chuan Mukah sebagai sokongan terhadap pelaksanaan program kemasyarakatan dan kebajikan yang dianjurkan oleh persatuan tersebut.
Penyerahan geran itu dilakukan sempena Majlis Makan Malam Hari Ibu dan Hari Bapa anjuran Persatuan Chiang Chuan Mukah yang berlangsung di Kingwood Resort Mukah pada Sabtu.
Menurut Royston, sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong peranan pertubuhan masyarakat yang aktif menganjurkan pelbagai program berfaedah kepada komuniti setempat.
“Geran aktiviti ini adalah sebagai sokongan terhadap usaha memperkukuh aktiviti sosial dan kebajikan yang dilaksanakan oleh Persatuan Chiang Chuan Mukah.
“Saya berharap ia dimanfaatkan dengan sebaik mungkin demi kebaikan ahli persatuan dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya semasa berucap ringkas.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola Program merangkap Pengerusi Persatuan Chiang Chuan Mukah, Kapitan Kang Boon Eong merakamkan penghargaan kepada Royston atas sumbangan yang diberikan kepada persatuan tersebut.
Beliau berkata sokongan berterusan daripada pemimpin setempat amat penting dalam membantu persatuan melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.-EDISI UKAS