Ngiling Bidai Jadi Platform Perkukuh Silaturahim Komuniti Balingian
BALINGIAN: Sambutan Ngiling Bidai bukan sekadar meraikan berakhirnya musim menuai, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh ikatan persaudaraan, semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, adat dan budaya yang diwarisi turun-temurun itu perlu terus dipelihara serta diperkasakan agar tidak ditelan arus pemodenan.
"Pada masa sama, ia perlu diwariskan kepada generasi akan datang agar identiti dan warisan kita kekal hidup dan dihargai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakam Majlis Ngiling Bidai Rumah Seliau, pada Ahad.
Dalam majlis sama, Abdul Yakub turut menyampaikan sumbangan dua unit lampu solar untuk kegunaan di jeti nelayan rumah panjang tersebut.
Menurutnya, ia adalah untuk meningkatkan kemudahan serta keselamatan penduduk setempat, khususnya para nelayan yang menggunakan jeti pada waktu malam.
"Kemudahan ini dijangka akan memberikan kemudahan kepada penduduk, meningkatkan kualiti hidup dan menyokong pembangunan komuniti luar bandar.
"Ini juga menunjukkan semangat kerjasama dan keprihatinan semua pihak dalam memberikan manfaat kepada rakyat," tambahnya.
Hadir sama, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Balingian Nolin Gendang, Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah Mohammad Raffie Mohammad Isma, Tr Seliau Randi dan Tr Umin Meringgai.-EDISI UKAS