Kejohanan Petanque Balingian Tarik 94 Penyertaan Dari Seluruh Sarawak
BALINGIAN: Kejohanan Terbuka Double Petanque anjuran Kelab Boules Balingian dengan sokongan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Bahagian Mukah berjaya menarik penyertaan menggalakkan apabila menghimpunkan 94 pasukan dari seluruh Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kejohanan ini mencapai objektifnya dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurutnya, penganjuran sukan seperti petanque bukan sahaja menguji kemahiran dan strategi peserta, malah menjadi wadah untuk mengeratkan perpaduan serta hubungan antara masyarakat pelbagai latar belakang.
“Menang atau kalah bukan ukuran utama, sebaliknya semangat kesukanan, disiplin dan persahabatan yang terjalin adalah nilai yang lebih bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Terbuka Double Petanque di Arena Petanque Balingian, pada Ahad.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Boules Balingian, Adeni Narawi melahirkan rasa syukur atas pembinaan gelanggang petanque yang kini menjadi lokasi utama penganjuran pelbagai pertandingan di kawasan tersebut.
Menurutnya, kemudahan berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang untuk aktiviti riadah dan sukan, malah berfungsi sebagai platform penyatuan komuniti setempat.
Dalam kejohanan tersebut, GP Vaie 1 muncul juara, manakala GP Vaie 2 meraih gelaran naib juara.
Tempat ketiga bersama pula dimenangi oleh pasukan Rejang 10 dan Rayyangers 2.
Hadir sama, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Balingian Nolin Gendang, Pegawai Penguasa MYSED Bahagian Mukah Rasidah Rasit dan Penghulu Harbi Bakir.-EDISI UKAS