Program Komuniti Bebas Tibi Tingkat Kesedaran Kesihatan Masyarakat Luar Bandar
KAPIT: Program Komuniti Bebas Tibi yang diadakan bersempena Majlis Ngiling Bidai di Rumah Juntan, Nanga Elik berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat luar bandar mengenai kepentingan penjagaan kesihatan, khususnya dalam usaha pencegahan dan pengesanan awal penyakit tibi.
Program anjuran Klinik Kesihatan Nanga Bena dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat setempat itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara komuniti dan agensi pelaksana selain memelihara warisan budaya masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang berkata, program seumpama itu amat penting dalam mendidik masyarakat mengenai bahaya penyakit tibi serta kepentingan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan awal.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pengesanan awal dan rawatan dapat dilaksanakan dengan berkesan serta menghapuskan stigma terhadap pesakit Tibi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Bebas Tibi dan Majlis Ngiling Bidai di Rumah Juntan, Nanga Elik, pada Ahad.
Wilson turut menegaskan bahawa program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat dari aspek kesihatan awam, malah berperanan memperkukuh hubungan antara masyarakat, pemimpin dan agensi kerajaan.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Alvin Runggah Jimbun yang mewakili Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Residen Bahagian Kapit Robert Liman Deli, Penyelaras Pusat Khidmat Parlimen Kapit Ambrose Abong Bugek, Tuai Rumah Juntan serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.-EDISI UKAS