Townhall Hari Sarawak 2026 Di Sibu Dijangka Himpun 1,000 Peserta
SIBU: Program Townhall sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 yang dijadual berlangsung pada 22 Julai depan di Sibu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada masyarakat setempat dan penduduk dari kawasan sekitar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Haji Saidol berkata, program tersebut merupakan platform penting dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat, di samping menyampaikan maklumat berkaitan pembangunan serta hala tuju Sarawak secara terus kepada masyarakat.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran program itu memerlukan kerjasama erat dalam kalangan jawatankuasa pelaksana bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Bertanggungjawab bagi Townhall Hari Sarawak 2026 turut berharap penyertaan masyarakat setempat dapat dipertingkatkan dengan penglibatan pelbagai lapisan umur dan latar belakang bagi memastikan program tersebut bersifat inklusif serta mencapai objektif yang ditetapkan.
Mengangkat tema “Sarawak Maju Makmur”, program Townhall berkenaan dijangka dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dan akan berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada 22 Julai 2026.
Perkara tersebut dimaklumkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Townhall Hari Sarawak 2026 Bilangan 1/2026 yang diadakan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada Isnin.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan pelbagai aspek persediaan termasuk logistik, pengurusan peserta, publisiti serta penyelarasan tugas antara agensi yang terlibat bagi memastikan penganjuran Townhall Hari Sarawak 2026 berjalan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan.-EDISI UKAS