Kerajaan Sarawak Salur RM10 Juta Sokong Sekolah Menengah Persendirian Cina
KUCHING: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan pendidikan pelbagai aliran terus dizahirkan melalui penyaluran geran berjumlah RM10 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (ICSS) di negeri ini.
Peruntukan tersebut disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena kunjungan hormat delegasi Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Persendirian Cina Bersatu Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Isnin.
Mengetuai delegasi persatuan ialah Pengerusinya Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming, Timbalan Pengerusi Dato Sri Richard Wee Liang Chiat, Bendahari Dato Seri Song Tiing Seng serta Penolong Setiausaha Agung Kuang Wei Hua.
Inisiatif berkenaan mencerminkan dasar inklusif Kerajaan Sarawak yang sentiasa mengiktiraf peranan semua aliran pendidikan dalam melahirkan modal insan berkualiti serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Sejak tahun 2014, kerajaan negeri secara konsisten menyalurkan bantuan tahunan kepada sekolah-sekolah terbabit, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM102 juta bagi tempoh 13 tahun.
Peningkatan peruntukan daripada RM3 juta kepada RM10 juta setahun turut membantu meringankan beban kewangan pihak pengurusan sekolah serta memastikan kelangsungan pembangunan institusi pendidikan tersebut.
Dalam pertemuan itu, pihak persatuan turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan kerajaan negeri yang dilihat sebagai pemangkin kepada kecemerlangan akademik serta penghasilan graduan yang berdaya saing.
Malah, sokongan tersebut turut selari dengan pendekatan Sarawak yang menitikberatkan keadilan pendidikan tanpa mengira aliran, termasuk menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang memberi manfaat kepada ribuan pelajar.
Setakat suku pertama 2026, seramai 4,694 pelajar telah menikmati manfaat skim berkenaan, termasuk 94 pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) daripada sekolah menengah persendirian Cina yang menerima tajaan penuh yuran pengajian. -EDISI UKAS