Sambutan Hari Gawai 2026 Peringkat Sarawak Tampil Pelbagai Acara Tradisi Dan Kebudayaan
KUCHING: Sambutan Hari Gawai 2026 Peringkat Sarawak bakal berlangsung meriah dengan pelbagai acara tradisi dan kebudayaan yang dijadualkan selama dua hari bermula 20 hingga 21 Jun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sambutan yang dianjurkan oleh komuniti Iban itu akan dimulakan dengan acara ‘Niti Daun’ pada 20 Jun yang dijangka dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut beliau, kemuncak sambutan akan diteruskan pada 21 Jun menerusi Majlis Makan Malam Gawai Peringkat Sarawak yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
"Majlis tersebut juga dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak.
“Persiapan telah berjalan dengan baik dan kami yakin tahun ini sambutan Gawai tahun ini akan membawa acara yang menarik sebagai sebahagian pembangunan harmonis dan Sarawak yang damai dengan kami akan menunjukkan tradisi dan budaya kita semasa acara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.
Datuk Amar Douglas turut memaklumkan bahawa sambutan kali ini akan menampilkan beberapa acara istimewa sebagai kejutan kepada pengunjung sepanjang penganjuran pada 20 dan 21 Jun nanti.
Mengulas mengenai ‘Niti Daun’, beliau berkata sebanyak 99 kontinjen akan mengambil bahagian dalam acara tersebut termasuk penyertaan kontinjen dari Sabah.
Katanya, perarakan itu akan bermula dari Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Tebingan Sungai Kuching dengan kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung dijangka memeriahkan acara berkenaan.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit.-EDISI UKAS