Orang Ramai Diseru Jaga Kebersihan, Keselamatan Jambatan Batang Lupar 1
KUCHING: Orang ramai diseru agar bersama-sama menjaga kebersihan dan keselamatan di Jambatan Batang Lupar 1 yang kini menjadi salah satu mercu tanda baharu serta tarikan pelancongan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan yang telah siap dibina itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan pengunjung dari luar Sarawak.
Menurutnya, peningkatan jumlah pengunjung ke lokasi berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan kawasan tersebut sentiasa bersih, teratur dan selamat untuk digunakan.
"Bagi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, kami sedang mengambil langkah menyediakan kemudahan pembuangan sampah dan akan terus memantau kawasan tersebut kerana kita mahu tempat ini sentiasa bersih dan menarik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.
Datuk Amar Douglas menambah, jambatan berkenaan mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan memandangkan semakin ramai pelawat dari luar negara datang untuk melihat sendiri struktur ikonik tersebut.
Justeru, beliau menyeru semua pihak, termasuk masyarakat setempat supaya bekerjasama bagi menjaga harta milik rakyat Sarawak sekali gus tidak mencalar imej Bumi Kenyalang.
"Jagalah kemudahan ini dengan baik supaya ia terus menjadi kebanggaan kita pada masa hadapan.
"Pihak JKR akan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan kebersihan kekal sebagai salah satu ciri utama Batang Lupar," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai aspek keselamatan, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menasihatkan pengguna supaya memandu secara berhemah serta tidak memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan.
Tambahnya lagi, JKR sedang meneliti beberapa isu berkaitan kemudahan dan penyelenggaraan di kawasan jambatan tersebut serta dijangka mengemukakan laporan lanjut dalam tempoh dua minggu. -EDISI UKAS