Projek Naik Taraf, Penurapan Semula Landasan Lapangan Terbang Mulu Dalam Perancangan
MIRI: Cadangan projek naik taraf dan penurapan semula landasan Lapangan Terbang Mulu mampu meningkatkan keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan penerbangan untuk penduduk dan pelancong ke kawasan itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, berkata kemudahan lapangan terbang yang lebih selamat dijangka menarik lebih ramai pelancong ke Mulu, sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi tempatan melalui limpahan kepada perniagaan dan komuniti setempat.
“Bagaimanapun projek semasa hanya melibatkan kerja-kerja penurapan semula landasan dan tidak merangkumi naik taraf keseluruhan lapangan terbang.
"Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk menaik taraf lapangan terbang ini pada masa hadapan bagi membolehkan pesawat yang lebih besar beroperasi di Mulu," katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, setakat ini projek itu masih di peringkat awal perbincangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Dr Gerawat menambah aspek logistik merupakan antara cabaran utama pelaksanaan projek berikutan ketiadaan akses jalan raya ke Mulu ketika ini.
Menurutnya, Jalan Miri-Marudi-Kuala Melinau yang sedang dibina hanya dijangka siap pada 2029.
“Perbincangan antara Malaysia Airports Sdn Bhd (MAHB) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) berhubung akses jalan sementara dari Sungai Tutoh di hilir Taman Negara Gunung Mulu telah dimulakan bagi memudahkan pelaksanaan projek,” katanya.
Terdahulu pada 13 Jun, Datuk Gerawat menyertai Program Outreach Mulu 2026 anjuran Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) yang berlangsung di Dewan Kampung Kuala Melinau di Mulu.
Turut diadakan sesi dialog bersama masyarakat setempat mengenai cadangan projek naik taraf dan penurapan landasan Lapangan Terbang Mulu.
“Semasa dialog, masyarakat tempatan memberikan sokongan penuh terhadap projek ini dan memahami manfaat yang bakal dibawa oleh pelaksanaannya.
"Komuniti setempat juga memohon tambahan kesalinghubungan penerbangan ke Bario dan Marudi menggunakan pesawat Twin Otter serta ke Limbang menggunakan pesawat ATR,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil.- EDISI UKAS