Majlis Makan Malam Gawai Peringkat Sarawak 2026 Jadi Kemuncak Sambutan Hari Gawai
KUCHING: Majlis Makan Malam Gawai Peringkat Sarawak 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 21 Jun ini dijangka menjadi kemuncak Sambutan Hari Gawai Dayak tahun ini dengan menghimpunkan kepimpinan tertinggi negeri dan negara.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, majlis berprestij itu akan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut dijangka menghadiri majlis tersebut.
“Hari ini saya bersama ahli Jawatankuasa Penganjur mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bagi menyampaikan jemputan rasmi untuk menghadiri majlis berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Astana Negeri Sarawak pada Isnin.
Beliau menambah, antara pengisian utama yang bakal mewarnai majlis tersebut ialah upacara tradisional Bebiau Pengabang dan Gawai Toast yang menjadi simbol penghormatan kepada adat serta budaya masyarakat Dayak.
Selain itu, para tetamu turut akan disajikan dengan pementasan teater muzikal eksklusif bertemakan “Ruai to the World” yang mengetengahkan keunikan warisan, budaya dan identiti masyarakat Dayak kepada khalayak yang lebih luas.
Datuk Amar Douglas berkata, Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 mengangkat tema “Segulai Sejalai” yang membawa maksud semangat kebersamaan, perpaduan dan kesatuan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Terdahulu, beliau mengetuai rombongan Jawatankuasa Penganjur Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bagi menyampaikan jemputan rasmi ke majlis berkenaan.
Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.-EDISI UKAS