Perarakan Budaya Pinyawa Himpun 600 Peserta, Cipta Sejarah Komuniti
SIBURAN: Pesta Gawai Brumbiak Pinyawa 2026 mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 600 peserta daripada 15 kontinjen dalam Perarakan Budaya Pinyawa yang julung kali dianjurkan secara besar-besaran, sekali gus menonjolkan kekayaan warisan serta identiti komuniti Bidayuh Pinyawa.
Perarakan sejauh 1.9 kilometer pada Ahad itu bermula dari Dewan Komuniti Kampung Serumah dan berakhir di Dewan Komuniti Kampung Gayu dengan penyertaan daripada 14 kampung Pinyawa iaitu Kampung Gayu, Kampung Serumah, Kampung Begu, Kampung Pesang, Kampung Subang, Kampung Krian, Kampung Sira, Kampung Peraya, Kampung Stabut, Kampung Chupak, Kampung Plaman Payang, Kampung Skuduk, Kampung Sungai Rise dan Kampung Maang, selain satu kontinjen mewakili Persatuan Kebudayaan dan Kemajuan Asar Pinyawa.
Penganjuran perarakan tersebut menjadi mercu tanda penting dalam sejarah komuniti Bidayuh Pinyawa kerana merupakan acara pertama yang diadakan khusus bagi meraikan serta mempamerkan warisan budaya yang kaya dan unik milik masyarakat berkenaan. Pinyawa merupakan salah satu subetnik Bidayuh yang menetap terutamanya di kawasan pertengahan Sungai Padawan.
Majlis pelepasan dan penutupan perarakan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Kampung Serumah dan Ketua Kampung Gayu atas kerjasama membenarkan penggunaan dewan komuniti masing-masing bagi menjayakan program tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa Persatuan Kebudayaan dan Kemajuan Asar Pinyawa bakal memiliki dewan sendiri pada masa hadapan susulan kelulusan peruntukan pembinaannya.
Bagaimanapun, beliau berharap kemudahan tersebut kelak dapat dimanfaatkan sepenuhnya menerusi pelbagai aktiviti komuniti agar sentiasa aktif dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Setiap projek yang diberikan oleh kerajaan perlu digunakan sebaik mungkin supaya memberi keuntungan dan manfaat kepada rakyat di kampung,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan masyarakat Pinyawa, Dato Sri Roland menegaskan bahawa pendidikan merupakan aspek paling penting dalam memastikan masa depan generasi muda terus terjamin dan berdaya saing.
Menurut beliau, perubahan zaman menuntut masyarakat bergerak seiring dengan kemajuan teknologi serta perkembangan ilmu pengetahuan.
“Jika dahulu kita menanam padi secara tradisional, kini kita perlu memastikan anak-anak dan cucu-cucu kita belajar menanam padi secara moden,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa antara fokus utama kerajaan ketika ini adalah memperkukuh pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan generasi yang mampu bersaing dalam era ekonomi moden.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kemajuan Asar Pinyawa, Damen Rejek berkata kesemua 14 kampung Pinyawa menghantar antara 30 hingga 40 peserta bagi menyertai Brumbiak Pinyawa dengan mengenakan pakaian tradisional Betan Asar Bidayuh Pinyawa.
Menurut beliau, beberapa kampung turut menghias lori dan kenderaan masing-masing sebagai lambang semangat serta komitmen dalam menjayakan sambutan tersebut.
“Ramai rakan-rakan dari luar kawasan Pinyawa yang ingin turut serta, namun bagi tahun ini penyertaan hanya dibuka kepada 14 kampung Pinyawa sahaja,” katanya.
Beliau berkata pihak penganjur bercadang meneruskan penganjuran Pesta Brumbiak Pinyawa pada masa hadapan dan berharap acara tersebut dapat dijadikan program tahunan dalam kalendar komuniti Pinyawa.
Selepas tamat perarakan, sambutan diteruskan dengan majlis makan malam, persembahan kebudayaan serta pelbagai acara hiburan yang menambahkan kemeriahan suasana perayaan.
Penganjuran Pesta Gawai Brumbiak Pinyawa 2026 dilihat selari dengan usaha memelihara, memperkasa dan mempromosikan warisan budaya yang diwarisi turun-temurun, di samping mengukuhkan perpaduan serta semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat Pinyawa.
Turut hadir Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kemajuan Asar Pinyawa merangkap Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek, Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari, Pegawai Daerah Bau merangkap Setiausaha Persatuan Kebudayaan dan Kemajuan Asar Pinyawa, Eddy Nayoi, Pengerusi Dayak Bidayuh National Association (DBNA), Teng Bukap DSP Dr Daram Ruer, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Siburan, Kaunselor Neuchlos Jub serta Penghulu Kawasan Pinyawa, Penghulu Nobert Nuom.-EDISI UKAS