UiTM Sarawak Lancar Kampus Rendah Karbon, Nekad Budayakan Kelestarian Alam
KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar menerusi pelancaran inisiatif Kampus Hijau, Rendah Karbon dan Lestari yang berlangsung di Kampus Samarahan pada Isnin.
Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah strategik ke arah membentuk budaya kampus yang lebih lestari dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Pelancaran Kampus Rendah Karbon ini merupakan langkah strategik UiTM Sarawak dalam membentuk budaya kampus yang lebih lestari," katanya.
Menurutnya, UiTM Sarawak terus memperkukuhkan pelbagai inisiatif termasuk penjimatan tenaga dan air, penyediaan tong sampah mengikut kategori, penggunaan stesen isi semula air minuman, penghijauan kampus serta galakan mobiliti hijau.
Jelas Dr Firdaus, pengukuhan amalan 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Repurpose, Recycle) juga hendaklah dibudayakan bagi menunjukkan keprihatinan pelajar terhadap alam sekitar dengan lebih mendalam.
Katanya, setiap tindakan kecil yang dilakukan oleh warga kampus mampu menyumbang kepada perubahan besar dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dan memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.
"Selain itu, caj penggunaan plastik sekali guna turut diperkenalkan bermula 15 Jun 2026 dan dana yang dikumpulkan akan disalurkan ke dalam Tabung Lestari bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kelestarian kampus," ujarnya.
Majlis turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif hijau kampus seperti Water Refill Station (WRS), Water Thimble Device (WTD), Air Quality Sensor (AQS) serta pelantikan kumpulan UiTM Rakan Alam Sekitar Ambassadors (URASA) Sarawak sebagai ejen perubahan dan duta kelestarian universiti.
Turut disempurnakan ialah pelancaran Sistem Pemantauan Kualiti Udara Masa Nyata melalui pemasangan sensor pemantauan IQAir.
Sistem pemantauan IQAir menyediakan pengukuran masa nyata bagi parameter utama kualiti udara termasuk bahan zarah terampai, Indeks Kualiti Udara (US AQI), suhu serta kelembapan relatif.
Program-program anjuran Jawatankuasa Pelestarian Kampus (LESTARI) dan Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar (URHP), UiTM Cawangan Sarawak berharap dapat menjadi pemangkin kepada transformasi budaya kampus yang lebih lestari.
Hadir sama, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Pemangku Timbalan Rektor Akademik dan Antarabangsa, Prof Madya Dr Saimi Bujang, Timbalan Rektor Penyelidikan Jaringan & Industri, Prof. Ir Dr Juferi Idris, Penolong Rektor Kampus Samarahan 2, Prof Madya Dr Abdul Razak Abdul Kadir, Penolong Rektor Kampus Mukah, Dr Abdul Jabbar Abdullah. -EDISI UKAS