Budaya Dayak Perlu Terus Dipelihara, Wariskan Kepada Generasi Muda
SRI AMAN: Budaya dan adat resam masyarakat Dayak perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan warisan berharga itu tidak pupus ditelan arus pemodenan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, tradisi seperti Ngiling Tikai dan Ngetas Ranyai bukan sahaja melambangkan penutupan sambutan Gawai Dayak, malah berperanan memperkukuh perpaduan serta hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
"Saya memuji komitmen penduduk Rumah Tria yang menganjurkan program Ngiling Tikai pada hari ini dalam mengekalkan tradisi serta semangat kerjasama yang tinggi dalam menjayakan program komuniti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pimpin Bersama Rakyat sempena Ngiling Tikai Gawai 2026 di Rumah Tria, Sutong pada Ahad.
Pada majlis tersebut, Datuk Mong turut mengumumkan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM100,000 bagi tujuan penambahbaikan tapak rumah panjang baharu Rumah Tria, Sutong.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM8,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Tria serta RM4,000 kepada Biro Wanita Rumah Tria bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan komuniti. -EDISI UKAS