Samarahan Food and Cultural Festival 2026 Sasar 350,000 Pengunjung, Jana Ekonomi Lebih Besar
KUCHING: Samarahan Food and Cultural Festival (SFCF) 2026 kembali dianjurkan buat kali kelima dengan sasaran menarik seramai 350,000 pengunjung sepanjang penganjurannya dari 26 Jun hingga 5 Julai ini di Tapak Pasar Tamu Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Desa Ilmu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival yang dianjurkan oleh MPKS itu bukan sahaja berperanan sebagai platform mempromosikan makanan dan budaya tempatan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
Menurut beliau, sambutan yang diterima setiap tahun menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah pengunjung yang direkodkan meningkat daripada sekitar 100,000 pada penganjuran awal kepada lebih 300,000 pengunjung pada tahun lalu.
“Tahun ini, MPKS mensasarkan kehadiran seramai 350,000 pengunjung. Berdasarkan perkembangan yang memberangsangkan, tidak mustahil jumlah itu akan terus meningkat pada masa hadapan,” katanya pada sidang media pengumuman festival tersebut di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, festival berkenaan telah dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri, sekali gus meningkatkan profil acara itu di peringkat nasional dan antarabangsa serta berpotensi menarik lebih ramai pelancong dari Semenanjung Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Menurutnya, penganjuran festival tersebut turut memberi peluang kepada usahawan kecil dan sederhana, termasuk peniaga baharu serta pelajar institusi pengajian tinggi yang berminat menceburi bidang keusahawanan, untuk mempromosikan produk dan perniagaan mereka.
“Festival ini menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan produk makanan tempatan yang merangkumi hidangan tradisional, makanan moden serta inovasi kulinari oleh usahawan dan komuniti setempat,” ujarnya.
Selain memperkukuh sektor ekonomi, beliau berkata festival itu juga berfungsi sebagai medium memperkenalkan keunikan budaya, warisan dan kepelbagaian etnik Sarawak kepada masyarakat tempatan serta pelancong.
Katanya, masyarakat pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Bugis dan Jawa yang menetap di Samarahan berpeluang mempersembahkan kebudayaan masing-masing menerusi pelbagai persembahan sepanjang festival berlangsung.
Antara acara yang akan diadakan termasuk Pertandingan Ratu Kebaya dan Ratu Cilik Kebaya, Battle of the Band, Samarahan Idol, Pertandingan Bertandak Melayu, Karaoke Cina serta persembahan artis jemputan seperti Ukays, Winnie, Faris Malek, Nurhijrah, Rizal AF, Lucy M, Leez Zuita, Rickey Andrewson, Mawat, Mohd Akmal, Allesandro dan lain-lain artis tempatan.
Festival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti Night Run 5km dan 7km, Pertandingan E-sukan, Pertandingan Bola Sepak Jalanan, Pertandingan Memanah Tradisional, Pertandingan Seni Silat Tari, Pertandingan Memasak, Pertandingan Karom, Pesta Nanas Terbuka, Pertandingan Slingshot, Pertandingan Mewarna serta Pameran Automotif.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Semarahan Food and Cultural Festival 2026 yang bakal menyajikan pelbagai pilihan makanan, aktiviti menarik serta keunikan budaya Sarawak dalam suasana penuh warna-warni.-EDISI UKAS