Kesedaran Gaya Hidup Sihat Perlu Diperkasa Secara Berterusan
KUCHING: Kesedaran mengenai amalan gaya hidup sihat termasuk aspek pemakanan, aktiviti fizikal, kesihatan mental dan pemeriksaan kesihatan berkala perlu terus diperkasakan bagi melahirkan masyarakat yang sihat, produktif dan sejahtera.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kesihatan merupakan aset paling berharga yang perlu dijaga oleh setiap individu dan usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan melalui program-program seumpama itu.
"Kesihatan merupakan aset paling berharga dan usaha meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan sihat, aktiviti fizikal, kesihatan mental serta pemeriksaan kesihatan berkala perlu diteruskan secara berterusan bagi melahirkan masyarakat yang sihat, produktif dan sejahtera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Bahagian Kuching Siri 2/2026 di Masjid Al-Abyad (Masjid Putih), Matang Jaya pada Sabtu.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dan Klinik Kesihatan Petra Jaya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang hadir menyertai pelbagai aktiviti kesihatan dan kemasyarakatan yang disediakan.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk senamrobik, briskwalk, jualan MADANI, ceramah kesihatan berkaitan pengurusan tekanan dan burnout dalam kalangan ibu bapa, saringan kesihatan percuma, saringan fizikal serta pelbagai pertandingan melibatkan kanak-kanak dan warga emas.
Kehadiran masyarakat daripada pelbagai lapisan umur membuktikan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan kesejahteraan keluarga. -EDISI UKAS