Mu’azamir Jili Dilantik Sebagai CEO SSC & Pengarah MSNS Baharu
KUCHING: Mantan Pengarah Cawangan Pembangunan Potensi, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Mu’azamir Jili dilantik secara rasmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan (SSC) Sarawak dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) yang baharu berkuat kuasa pada Isnin.
Majlis serah tugas bagi kedua-dua kawatan tersebut disempurnakan oleh Pemangku CEO dan Pemangku Pengarah MSNS Khairul Nizam Morshidi kepada Mu’azamir.
Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Nancy Jolhi sebagai simbolik kepada peralihan kepimpinan yang teratur dan profesional.
Peralihan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kesinambungan dasar serta pelaksanaan agenda pembangunan sukan negeri terus berjalan dengan lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Untuk rekod, Mu’azamir juga pernah menggalas peranan sebagai Pengarah JBSN Pahang dari 2019 hngga 2025.
Dengan pengalaman meluas dalam bidang sukan, pelantikan Mu’azamir diyakini mampu membawa dimensi baharu dalam memperkasa ekosistem sukan Sarawak, selaras dengan aspirasi negeri untuk melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sementara itu, warga SSC dan MSNS turut merakamkan penghargaan atas komitmen serta kepimpinan Khairul Nizam sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai pemangku, khususnya dalam memastikan kelancaran operasi dan program pembangunan atlet negeri.-EDISI UKAS