Parit Konkrit Baharu Kampung Tambirat Hilir Tingkatkan Kemudahan Saliran Penduduk
ASAJAYA: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembinaan parit konkrit baharu di Kampung Tambirat Hilir, Asajaya diserahkan kepada pihak kontraktor sekali gus meningkatkan kemudahan saliran serta kesejahteraan komuniti kampung.
Majlis penyerahan projek yang berlangsung di tapak projek itu dihadiri oleh Pegawai Pusat Khidmat N.15 Asajaya, Nur Aisah Neeudin Wee yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya di sini, pada Isnin.
Projek yang dilaksanakan oleh Fazza Enterprise itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar, khususnya melalui penyediaan sistem perparitan yang lebih teratur dan berkesan.
Kemudahan parit konkrit baharu tersebut dijangka mampu membantu melancarkan aliran air, mengurangkan risiko masalah saliran serta meningkatkan keselesaan penduduk dalam menjalani aktiviti harian.
Majlis penyerahan itu turut melibatkan pemantauan oleh agensi teknikal berkaitan bagi memastikan setiap kerja yang dilaksanakan mematuhi spesifikasi dan standard kualiti yang telah ditetapkan.
Penduduk Kampung Tambirat Hilir menzahirkan penghargaan terhadap pelaksanaan projek berkenaan yang disifatkan memberi manfaat besar kepada komuniti setempat serta mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan menyeluruh dapat dinikmati oleh masyarakat luar bandar.
Turut hadir Pegawai Pembangunan Pejabat Daerah Asajaya, Michel Pawan, Pegawai Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Samarahan, Lucia Munyang dan Nyuak Iba serta Ketua Kampung Tambirat Hilir, Sulaiman Lee.
Projek tersebut merupakan antara inisiatif pembangunan yang dilaksanakan menerusi peruntukan RTP bagi meningkatkan kemudahan asas dan kualiti hidup penduduk di kawasan Asajaya.-EDISI UKAS