Komitmen Penderma Sukarela Pastikan Bekalan Darah Hospital Miri Terjamin
MIRI: Komitmen berterusan penderma darah sukarela di Miri memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan darah Hospital Miri sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, pembedahan, rawatan kanser serta pelbagai prosedur perubatan lain.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata para penderma darah merupakan wira kemanusiaan yang telah banyak menyumbang kepada usaha menyelamatkan nyawa dan memberi harapan kepada pesakit yang memerlukan.
“Darah tidak boleh dihasilkan seperti ubat-ubatan dan hanya boleh diperoleh melalui kemurahan hati individu yang sanggup tampil membantu orang lain.
“Justeru, setiap penderma darah sukarela sebenarnya memainkan peranan besar dalam menyokong sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Penderma Darah 2026 sempena Hari Penderma Darah Sedunia yang berlangsung di Pentas Utama Pusat Membeli-belah Boulevard, di sini, pada Ahad.
Tambah beliau, amalan menderma darah secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan mencerminkan nilai belas ihsan dan tanggungjawab sosial yang tinggi, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada generasi muda untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
Menurutnya, kerjasama erat antara pelbagai pihak termasuk Hospital Miri, Unit Bank Darah, sukarelawan, penaja serta agensi kerajaan dan swasta telah membolehkan hospital berkenaan mengekalkan bekalan darah yang mencukupi tanpa perlu bergantung kepada penderma yang dicari sendiri oleh keluarga pesakit.
“Ini membuktikan semangat kesukarelawanan dan kerjasama komuniti mampu memberikan impak besar kepada masyarakat, khususnya dalam memastikan keperluan darah sentiasa tersedia apabila diperlukan,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Miri turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Maxim dan Jasmine Café sebagai langkah memperkukuh kerjasama dalam menjayakan program kemanusiaan pada masa hadapan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada penderma darah baharu, penderma kategori B yang mencatatkan antara 40 hingga 136 pain darah, peserta cabaran Bring A Friend, rakan kerjasama, penaja, ArtWork Kids serta Bank Darah Hospital Miri.
Wahid Pani menerima pengiktirafan sebagai penderma lelaki tertinggi dengan 136 pain darah, manakala Rose Sulan Ganing diiktiraf sebagai penderma wanita tertinggi dengan 83 pain darah.
Seramai 151 penerima penghargaan diraikan pada majlis berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan mereka dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk keperluan pesakit di Hospital Miri.-EDISI UKAS