Jalan Rh. Sulang Lah Bakal Dinaik Taraf Melalui Peruntukan RTP
TATAU: Projek menaik taraf jalan di hadapan Rumah Sulang Lah akan dilaksanakan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan penduduk setempat.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata pelaksanaan projek tersebut merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur luar bandar terus dipertingkat demi kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Santai Bersama Pemimpin di Rh Sulang Lah pada Ahad yang turut menjadi platform untuk beliau berinteraksi dengan rakyat serta mendengar sendiri keperluan dan pandangan komuniti setempat.
Menurut beliau, pendekatan turun padang dan pertemuan secara langsung bersama masyarakat penting bagi memastikan setiap isu dan keperluan penduduk dapat diberi perhatian sewajarnya.
Dalam majlis sama, turut berlangsung sesi penyerahan borang pendaftaran 44 ahli baharu Parti Rakyat Sarawak (PRS) oleh TR Gerry Anak Suran dari kawasan Sungai Anak, KM89.5 Jalan Sibu-Bintulu.
Penyertaan ahli baharu itu dilihat sebagai tanda keyakinan berterusan masyarakat terhadap perjuangan dan hala tuju parti dalam membela kepentingan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Program Santai Bersama Pemimpin itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah menjadi medan untuk menyampaikan maklumat berkaitan pembangunan serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada komuniti setempat.-EDISI UKAS