Sarawak Diiktiraf Sebagai ‘Electro-Petro-State’, Kukuhkan Peranan Dalam Peralihan Tenaga Hijau
KUCHING: Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri dalam peralihan global ke arah penggunaan tenaga hijau apabila diiktiraf sebagai sebuah “electro-petro state” yang memiliki sumber gas dan tenaga boleh diperbaharui.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata dunia kini sedang beralih daripada penggunaan bahan api fosil kepada tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui berikutan cabaran perubahan iklim yang berpunca daripada pelepasan karbon.
Beliau berkata perubahan tersebut menjadikan sumber tenaga bersih dan rendah karbon semakin penting dalam memenuhi keperluan pembangunan ekonomi masa depan.
“Sarawak mempunyai kedua-duanya. Kita mempunyai gas yang menghasilkan tenaga rendah karbon melalui metana dan pada masa sama mempunyai tenaga boleh diperbaharui menerusi hidro. Inilah sumber tenaga yang diperlukan pada era masa kini.
“Di peringkat antarabangsa, Sarawak diiktiraf sebagai sebuah ‘electro-petro-state’ kerana kita memiliki kedua-dua sumber tenaga tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SWG Green Complex & Decarbon Hub di Demak Laut, di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, semasa Persidangan Hidrogen baru-baru ini, wakil daripada International Energy Agency (IEA) mengakui kelebihan yang dimiliki Sarawak berbanding banyak wilayah lain.
Katanya, negara-negara pengeluar bahan api fosil sering dirujuk sebagai ‘petro-state’, manakala negara yang menjana pertumbuhan ekonomi berasaskan penggunaan tenaga elektrik pula dikenali sebagai ‘electro-state’.
Premier Sarawak berkata kelebihan tersebut membolehkan Sarawak memenuhi keperluan tenaga masa depan yang semakin memberi penekanan kepada sumber tenaga bersih dan rendah karbon.
Dalam hal ini, beliau menegaskan bahawa teknologi memainkan peranan penting dalam memastikan sumber tenaga yang dimiliki dapat dimanfaatkan secara optimum untuk pembangunan ekonomi negeri.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Pengerusi SWG Energy Group Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta dif kenamaan lain.-EDISI UKAS