Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sokong Keperluan Industri Rendah Karbon
KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan skim pendidikan tinggi percuma (FTES) bagi memenuhi keperluan industri rendah karbon yang sedang berkembang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata selain infrastruktur dan sumber tenaga, tenaga kerja berkemahiran tinggi merupakan elemen penting dalam menjayakan agenda transformasi ekonomi negeri.
“Apa yang kita perlukan sekarang ialah proses yang hijau dan sumber manusia yang mampu menyokong pembangunan tersebut.
“Sebagai tindak balas kepada keperluan itu, kerajaan memperkenalkan pendidikan tinggi percuma bagi meningkatkan kemahiran, menambah kemahiran baharu serta melatih semula tenaga kerja kita,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian SWG Green Complex & Decarbon Hub di Demak Laut, di sini, pada Isnin.
Menurut Premier Sarawak, langkah itu penting supaya rakyat negeri ini dapat memainkan peranan dalam sektor-sektor baharu yang muncul hasil peralihan global ke arah ekonomi rendah karbon.
Tambah beliau, pembangunan sumber manusia akan menjadi faktor utama dalam memastikan Sarawak dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi yang diwujudkan menerusi pembangunan industri hijau dan penggunaan tenaga rendah karbon.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Pengerusi SWG Energy Group Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta dif kenamaan lain.-EDISI UKAS