Sektor Swasta, Teknologi Jadi Pemangkin Transformasi Pertanian Sarawak
PAKAN: Penglibatan sektor swasta terus menjadi antara pemacu penting dalam usaha mempercepatkan transformasi sektor pertanian Sarawak ke arah yang lebih moden dan berdaya saing.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta perlu terus diperkukuhkan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan negeri.
Menurut beliau, sektor swasta memainkan peranan penting melalui pelaburan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mampu menyokong kemajuan industri pertanian.
Katanya, penggunaan teknologi dan inovasi moden turut membantu meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi serta penggunaan sumber secara lebih optimum.
“Transformasi sektor pertanian memerlukan sokongan semua pihak termasuk sektor swasta yang mempunyai kemampuan memperkenalkan teknologi dan pendekatan baharu kepada industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Pakan Agrofest 2026 di Pakan pada Ahad.
Menurutnya, antara teknologi yang semakin mendapat perhatian ialah pertanian pintar, automasi dan mekanisasi ladang, pembungkusan mesra alam serta penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, penerapan teknologi tersebut dapat membantu meningkatkan hasil pengeluaran di samping mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja konvensional.
Jelas beliau, teknologi yang diperkenalkan perlu mudah diakses, praktikal dan mampu dimiliki oleh petani serta pengusaha agro di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS