3,869 Syarikat, 14,447 Kenderaan Berdaftar SKDS di Sarawak
SIMANGGANG: Sebanyak 3,869 syarikat dan 14,447 kenderaan di Sarawak telah berjaya berdaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat 14 Jun lalu.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sri Aman, Qartinee Mohamad Esa berkata, pencapaian tersebut menunjukkan sambutan positif daripada syarikat pengangkutan, sektor logistik serta pemilik kenderaan komersial yang layak menikmati kemudahan diesel bersubsidi di bawah skim berkenaan.
Menurut beliau, pelaksanaan SKDS merupakan inisiatif penting kerajaan bagi memastikan subsidi diesel disalurkan kepada golongan dan sektor yang benar-benar layak, di samping mengurangkan ketirisan serta meningkatkan kecekapan pengurusan subsidi negara.
“Melalui sistem ini, syarikat yang memenuhi syarat kelayakan akan terus menikmati akses kepada diesel bersubsidi bagi menyokong kelangsungan operasi dan aktiviti ekonomi mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Taklimat dan Kaunter Pendaftaran Bergerak SKDS di sini, hari ini.
Program yang dianjurkan KPDN Negeri Sarawak itu melibatkan penyertaan seramai 80 peserta dan dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan Ketua Seksyen Pembangunan KPDN Negeri Sarawak, Jacqualine Jagang.
Qartinee berkata, program berkenaan bertujuan memperluaskan pemahaman serta memudahkan proses pendaftaran syarikat dan kenderaan yang layak di bawah SKDS.
Katanya, pendekatan turun padang menerusi sesi libat urus dan kaunter bergerak membolehkan peserta mendapatkan penerangan terperinci mengenai syarat kelayakan, tatacara permohonan, pengurusan kuota subsidi serta pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan.
“Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPDN untuk memastikan maklumat berkaitan pelaksanaan SKDS dapat disampaikan secara langsung kepada komuniti perniagaan dan pihak berkepentingan di seluruh Sarawak,” ujarnya.
Beliau menambah, kementerian akan terus mempergiatkan program taklimat dan kaunter pendaftaran bergerak di lokasi strategik di seluruh negeri bagi memastikan lebih ramai syarikat serta pemilik kenderaan komersial yang layak dapat menyertai SKDS.
“Kerjasama semua pihak amat dihargai dalam menjayakan pelaksanaan dasar kerajaan ini demi memastikan manfaat subsidi diesel dapat dinikmati secara adil, telus dan bersasar,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang dan Pejabat Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, Lena Buntal.-EDISI UKAS