Warisan Gawai Perlu Diwariskan Kepada Generasi Muda
SARIKEI: Tradisi dan adat resam Hari Gawai perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan warisan budaya masyarakat Iban kekal relevan dan tidak luput ditelan zaman.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata amalan tradisi seperti Upacara Ngetas Ranyai dan Ngiling Tikar bukan sahaja mencerminkan identiti masyarakat Iban, malah menjadi medium penting dalam memperkukuh nilai kekeluargaan dan kebersamaan dalam komuniti.
“Kita perlu memastikan tradisi seperti Upacara Ngetas Ranyai dan Ngiling Tikar terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi seterusnya. Budaya yang kuat akan melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Hari Gawai di beberapa rumah panjang sekitar kawasan Sarikei baru-baru ini.
Dalam siri lawatan tersebut, Dato Sri Huang turut menghadiri Upacara Ngetas Ranyai dan Ngiling Tikar yang diadakan di Rumah Bujang dan Rumah Rami, selain berpeluang menyantuni penduduk yang menyambut kedatangannya dengan penuh kemeriahan dan semangat kekeluargaan.
Menurut beliau, sambutan Hari Gawai bukan sekadar perayaan menuai, malah platform penting untuk memperkukuh hubungan silaturahim, memupuk semangat perpaduan serta mengekalkan adat dan budaya yang menjadi kebanggaan masyarakat Dayak.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat perpaduan yang ditonjolkan oleh penduduk rumah panjang sepanjang musim perayaan perlu terus dipelihara demi memastikan keharmonian yang dikecapi hari ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Semangat saling menghormati dan membantu antara satu sama lain perlu terus dipelihara agar generasi akan datang dapat menikmati keamanan dan kestabilan yang kita capai hari ini,” ujarnya.
Antara rumah panjang yang dikunjungi beliau sepanjang lawatan tersebut ialah di kawasan Sungai Petai, Skim B, Sungai Lelabi, Sungai Bakong, Sungai Pidi dan Sungai Meradong.
Lawatan bersempena sambutan Hari Gawai itu turut mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam mendekati masyarakat luar bandar serta memahami keperluan penduduk di kawasan rumah panjang.-EDISI UKAS