Syarikat Konsesi Penyelenggaraan Bakal Dilantik Tangani Isu 'Redline' Lebuhraya Pan Borneo Sarawak
KUCHING: Kerajaan Persekutuan bakal melantik syarikat konsesi penyelenggaraan bagi melaksanakan kerja-kerja menangani isu jajaran redline di Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang melibatkan kira-kira 136 kilometer laluan.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan untuk melaksanakan kaedah tersebut telah dipersetujui baru-baru ini bagi membolehkan usaha menangani isu berkenaan dimulakan dalam masa terdekat.
"Jadi, orang ramai tidak perlu risau kerana dalam masa terdekat keputusan akan dimuktamadkan dan syarikat-syarikat berkaitan akan dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Malaysian Regional Geotechnical Engineering Conference (MRGEC) 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, beberapa pendekatan lain juga akan dilaksanakan bagi menangani isu tersebut.
Namun, beliau memberitahu, isu 'Redline' Lebuhraya Pan Borneo memerlukan pembiayaan dana khusus disebabkan anggaran keseluruhan memakan kos sebanyak RM900 juta.
Dalam pada itu, Dato Sri Alexander Nanta memberitahu, Kerajaan Persekutuan masih mampu mengurus dan menangani kesan kenaikan kos bahan binaan ketika ini tanpa perlu menambah peruntukan bagi projek-projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Setakat ini katanya, kesan peperangan terhadap rantaian bekalan dan kos bahan binaan masih belum berada pada tahap yang membimbangkan.
"Jika peperangan berterusan dan mula menjejaskan bekalan bahan api seperti petrol dan minyak secara lebih serius, barulah kesannya akan menjadi lebih ketara dan ketika itu strategi yang telah dirancang akan diaktifkan.
"Keadaan ini bergantung kepada perkembangan pasaran serta situasi ekonomi semasa," jelasnya.
Menurutnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diminta untuk membentangkan strategi jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani keadaan ekonomi yang agak mencabar susulan peperangan di Asia Barat.
Ujarnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menjalankan kajian dan membentangkan hasil kajian tersebut dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), termasuk strategi-strategi yang boleh dilaksanakan bagi menangani isu berkenaan. -EDISI UKAS