BPHB Jadi Model Industri Sokong Agenda Sifar Bersih Sarawak Menjelang 2050
BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) muncul sebagai antara contoh terbaik industri yang berjaya mengimbangi kecekapan operasi dengan tanggungjawab alam sekitar menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif teknologi hijau dan rendah karbon sejajar aspirasi Sarawak mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata komitmen yang ditunjukkan BPHB membuktikan sektor industri mempunyai peranan penting sebagai pemacu utama agenda peralihan tenaga dan pembangunan mampan negeri.
Menurut beliau, pelaksanaan teknologi seperti Sistem Solar Fotovoltaik (PV), Hybrid Rubber-Tyred Gantry (HRTG), Reach Stacker Electric, Electric Powered Terminal Tractor (EPTT) serta penggunaan motosikal elektrik mencerminkan kesungguhan syarikat mengurangkan pelepasan karbon tanpa menjejaskan kecekapan operasi.
"BPHB telah membuktikan bahawa transformasi ke arah operasi rendah karbon boleh dilaksanakan secara berkesan sambil mengekalkan daya saing dan produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Inisiatif Kelestarian dan Hijau BPHB di Foyer Wisma Kontena, Pelabuhan Bintulu pada Jumaat.
Tambah beliau, inisiatif tersebut selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh ekonomi hijau serta memperluaskan penggunaan teknologi bersih dalam sektor industri dan komersial.
Katanya, penglibatan aktif syarikat industri dalam mengadaptasi teknologi rendah karbon amat penting bagi mempercepatkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau serta mencapai sasaran pembangunan mampan negeri.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata pelancaran inisiatif berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam transformasi operasi pelabuhan ke arah sistem yang lebih mampan, cekap dan berdaya saing.
Menurutnya, projek Solar PV yang diperkenalkan bermula dengan kapasiti 150 kilowatt-peak (kWp) dan berpotensi diperluaskan sehingga 400 kWp pada masa hadapan bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam operasi pelabuhan.
Selain itu, HRTG yang dinaik taraf daripada sistem diesel konvensional kepada teknologi hibrid mampu mengurangkan penggunaan bahan api serta pelepasan karbon secara signifikan tanpa menjejaskan kecekapan pengendalian kargo.
Beliau berkata BPHB turut merancang menambah 12 unit EPTT baharu, memperluaskan penggunaan tenaga elektrik hijau serta meneroka penggunaan kapal tunda elektrik atau hibrid sebagai sebahagian daripada pelan transformasi jangka panjang syarikat.
“Kelestarian bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan. BPHB akan terus memperkukuh inovasi, mempercepatkan pendigitalan operasi dan memperluaskan amalan lestari bagi mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang taruh serta menyokong usaha global menangani perubahan iklim,” katanya.
Inisiatif tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan BPHB sebagai antara peneraju industri yang aktif menyokong agenda kelestarian Sarawak menerusi penggunaan teknologi hijau, operasi rendah karbon dan pembangunan ekonomi yang mampan.-EDISI UKAS