TYT Sarawak & Isteri Zahir Penghormatan Terakhir Kepada Allahyarham Datuk Kamil
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Kamil Musuari dengan menziarahi kediaman keluarganya di sini pada Jumaat.
Kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mencerminkan rasa simpati serta penghargaan terhadap jasa dan peranan Allahyarham yang sentiasa menjadi tulang belakang serta sumber kekuatan kepada isterinya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri sepanjang penglibatan beliau dalam dunia politik dan perkhidmatan awam.
Dalam kunjungan tersebut, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut meluangkan masa bertemu Dato Sri Nancy serta ahli keluarga terdekat bagi menyampaikan ucapan takziah dan memberikan kata-kata semangat kepada keluarga yang sedang berdepan detik penuh dukacita.
Suasana di kediaman keluarga Allahyarham dipenuhi kehadiran ahli keluarga, sahabat handai, kenalan rapat serta pemimpin-pemimpin negeri yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir dan menzahirkan rasa simpati atas pemergian Allahyarham.
Pemergian Allahyarham Datuk Kamil disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga dan mereka yang mengenali beliau, khususnya atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada Dato Sri Nancy sepanjang karier beliau dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara.
Kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut mencerminkan nilai kebersamaan serta keprihatinan yang sentiasa menjadi teras masyarakat Sarawak dalam berkongsi rasa ketika berhadapan saat suka dan duka.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama anakandanya Dayang Nurjihan Abang Johari, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri-Menteri Kabinet negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pemimpin masyarakat.-EDISI UKAS