Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 Peringkat Kebangsaan Di Sarawak Angkat Tema ‘Restu Jiwa Pahlawan’
KUCHING: Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-70 Peringkat Kebangsaan akan berlangsung pada 22 Jun ini di Hotel Pullman Kuching dengan mengetengahkan tema ‘Restu Jiwa Pahlawan’, sebagai penghargaan terhadap perjuangan tokoh-tokoh bahasa dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan negara.
Sambutan bersejarah itu turut menandakan tujuh dekad peranan dan sumbangan DBP dalam pembangunan bahasa, sastera dan ilmu pengetahuan, selain memperkukuh identiti nasional serta budaya ilmu dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Ketua Pengarah DBP Malaysia, Datuk Dr. Hazami Jahari berkata tema tersebut dipilih berasaskan semangat perjuangan pejuang-pejuang bahasa terdahulu yang menjadi asas kepada usaha memperkasa bahasa Melayu sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.
“Perjuangan untuk memertabatkan bahasa, sastera dan keilmuan ini datangnya daripada perjuangan pejuang-pejuang bahasa dahulu. Bahasa merupakan warisan dan jati diri bangsa yang menjadi tiang seri kepada kemerdekaan negara.
“Maka kita memilih tema Restu Jiwa Pahlawan bagi meneruskan agenda perjuangan tersebut dan menyemai kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Juh Randau Edisi Ke-56 terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, pemilihan Sarawak sebagai lokasi sambutan tahun ini bukan sahaja berdasarkan giliran penganjuran, malah sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan yang menjadi medium komunikasi masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Ismail berkata sambutan tersebut menerima sokongan menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk sekolah, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat di seluruh Sarawak.
“Masyarakat Sarawak ini memang sangat tertunggu-tunggu dan terbuka menerimanya serta bersedia. Apabila kita pergi ke sekolah, bertemu penduduk kampung, ketua kampung dan pegawai daerah, mereka bersedia dan seolah-olah mengalu-alukan program ini,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelbagai program telah disusun sepanjang sambutan termasuk Kembara Bahasa Jiwa Bangsa, Malam Bahasa Jiwa Bangsa, wacana bahasa, syarahan tokoh serta aktiviti melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi menyemai kecintaan terhadap bahasa dan sastera Melayu.
Kemuncak sambutan pada 22 Jun nanti dijangka diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta pelbagai pengisian ilmiah dan kebudayaan yang mengangkat perjuangan tokoh-tokoh bahasa negara.-EDISI UKAS