DBP Terus Jadi Institusi Penting Dalam Pembangunan Bahasa Melayu
GEDONG: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memainkan peranan penting dalam pembangunan bahasa Melayu serta pembinaan negara bangsa sejak penubuhannya 70 tahun lalu.
Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, ini dapat dilihat melalui penerbitan kamus, penggubalan istilah, penerbitan buku tatabahasa, pedoman ejaan Jawi, pemerkasaan karya sastera serta pembinaan ekosistem ilmu yang menyumbang kepada pembentukan negara bangsa.
“Kita bukan sahaja mewarisi perjuangan terdahulu, malah memikul tanggungjawab untuk memastikan bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Bahasa Jiwa Bangsa sempena sambutan ulang tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong pada Khamis.
Tambahnya, semangat yang dibawa menerusi tema sempena sambutan ulang tahun ke-70 DBP iaitu ‘Restu Jiwa Pahlawan’ perlu terus diperkasakan dalam menghadapi perkembangan teknologi, termasuk kemajuan kecerdasan buatan (AI).
Jelasnya, tema ‘Restu Jiwa Pahlawan’ sebagai simbol kesinambungan perjuangan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan dan memperkukuh kedudukan sastera negara.
Beliau turut berharap slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ terus dihayati dan diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai asas memperkukuh identiti serta jati diri negara.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan Sumbangan Buku Budi MADANI kepada SMK Gedong dan SK Abang Kadir Gedong serta pertukaran Sijil Jaringan Kerjasama Strategik antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Simunjan dan DBP. -EDISI UKAS